PERUTUSAN KETUA PENGARAH TAHUN BAHARU 2014




Assalamualaikum W.B.T
Salam Sejahtera
Salam Perpaduan
Salam 1Malaysia
Dalam kita mengharungi arus pemodenan dan berusaha ke arah menjadi sebuah negara maju, maka kita tidak dapat mengelak daripada cabaran globalisasi di mana rakyat menuntut hak kebebasan bersuara, keadilan sosial dan ruang demokrasi sehingga berlaku konflik keganasan, peperangan dan demontrasi yang tiada kesudahannya.
Sementara di peringtkat dalaman pula, kita terpaksa berdepan dengan pelbagai isu sensitif sama ada berbentuk perkauman, keagamaan mahupun politik. Sehubungan itu, dalam pengurusan kesepaduan sosial masyarakat Malaysia yang berbilang keturunan, agama dan budaya menjadi bertambah kompleks dan rumit akibat daripada pengaruh tersebut.
Tuntutan  rakyat terhadap kerajaan semakin hari semakin tinggi dan semakin mencabar kerana kita sedikit sebanyak dipengaruhi dengan apa yang sedang berlaku di luar negara seperti soal hak asasi manusia, kebebasan beragama dan aktiviti ekstremisme lebih-lebih lagi pengaruh yang dibawa oleh media baharu.
Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu bersyukur kerana negara kita dilimpahi dengan rahmat kesejahteraan, keamanan dan keharmonian sehingga hari ini. Kita masih dapat hidup bersama dalam semangat muhibbah, hormat-menghormati antara satu sama lain walaupun sekali-sekala ada juga isu-isu sensitif dimainkan.
Maka peranan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional juga semakin mencabar dan memerlukan mekanisme serta cara bertindak yang menggunakan pendekatan yang baru selaras dengan kehendak serta aspirasi rakyat masa kini.
Apa yang penting, kita harus lebih fokus serta tingkatkan iltizam bagi memastikan negara kita terus melonjak ke hadapan sebagai sebuah negara yang aman, sejahtera dan harmoni dan sebagai sebuah negara contoh kepada dunia luar dalam kita menguruskan perpaduan dalam kepelbagaian.
Sekian, wassalamu alaikum wbt.  
DATO’ AZMAN AMIN BIN HASSAN
KETUA PENGARAH
JABATAN PERPADUAN NEGARA DAN INTEGRASI NASIONAL
JABATAN PERDANA MENTERI

No comments:

Post a Comment